792
Presiden AS Joe Biden berkata perjanjian gencatan senjata dan pembebasan tebusan ‘di ambang’ untuk dimuktamadkan
Perjanjian gencatan senjata dan pembebasan tebusan antara Hamas dan rejim Zionis dikatakan hampir dimuktamadkan, biarpun pertempuran hebat terus membadai wilayah Palestin.
Perkembangan itu dimaklumkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, dalam ucapan perpisahan di Jabatan Negara AS, semalam.
“Mengenai peperangan Israel-Hamas, cadangan yang dijelaskan secara terperinci beberapa bulan lalu, akhirnya hampir menjadi kenyataan,” katanya.
Sejak awal bulan ini, pihak perantara antarabangsa seperti Qatar, Mesir dan AS memperhebat usaha bagi memuktamadkan perjanjian gencatan senjata di Gaza, sekali gus membantu memudahkan pembebasan tebusan yang masih ditahan di sana.
Sementara itu, Penasihat Keselamatan Negara Rumah Putih, Jake Sullivan, berkata perjanjian gencatan senjata mungkin dimuktamadkan, minggu ini.
“Saya tidak membuat janji atau ramalan, tetapi ada peluang ia berlaku dan kami akan berusaha untuk merealisasikannya,” katanya.
Sumber yang maklum mengenai rundingan berlangsung di Doha itu pula berkata, terdapat ‘kemajuan ketara mengenai isu yang masih menjadi halangan’ dalam rundingan terbaru di Qatar.
Keadaan itu, katanya, membawa kepada pembentangan cadangan baharu yang ‘konkrit’ kepada pihak berkaitan.
Bercakap pada sidang media, Menteri Luar Israel, Gideon Saar, berkata Tel Aviv benar-benar berusaha untuk membebaskan tebusan dan sedang berusaha memuktamadkan perjanjian mengenainya.
Bagi pegawai Palestin yang rapat dengan Hamas dan enggan identitinya didedahkan pula berkata, pusingan rundingan semasa adalah yang paling serius dan mendalam serta terdapat kemajuan ketara. – Berita Harian